Covid-19: 1,247 kes baharu, tiga kematian direkodkan

Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 di negara ini mencatatkan 1,247 kes baharu dan tiga kematian, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 101,565 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 18,576 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh sebanyak 1,441 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 68,084 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 1,245 kes.

“Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 461 kes (37 peratus) membabitkan 309 kes (67.0 peratus) daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 225 kes (18.0 peratus) dan Johor sebanyak 205 kes (16.4 peratus).

“Sebanyak 211 kes (16.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86 kes), Kluster Tembok (8 kes), dan Kluster Pompod (4 kes),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan tiga kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 449 kes atau 0.44 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 108 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.