Covid-19: 1,360 kes baharu, 2 kematian

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,360 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 338,168 kes dengan jumlah kes aktif 14,504 kes serta dua kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, hanya satu kes import dilaporkan, manakala 1,359 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 356 kes diikuti Sarawak (308 kes) dan Johor (129 kes).

“Sebanyak 62 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) membabitkan Kluster Tembok Tapah (27 kes), Kluster Telok Mas (20 kes), Kluster Tembok Muhasabah (12 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes) dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 157 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 72 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 1,491 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 322,416 kes atau 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat dua kes kematian dilaporkan hari ini di Sarawak dan Selangor membabitkan warga tempatan masing-masing berusia 72 dan 89 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Dua kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,248 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.