Covid-19: 15 kes import, 2 penularan tempatan hari ini

SEBANYAK 17 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), merekodkan 9,334 kes positif keseluruhan jangkitan wabak itu dalam negara, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 17 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 11 warga Malaysia dan empat bukan warganegara.

Beliau berkata, kes import berkenaan membabitkan mereka yang baru pulang dari India (12 kes), Arab Saudi (dua kes) dan Jepun (Satu kes).

“Dua kes penularan di dalam negara pula membabitkan warga Malaysia iaitu satu kes dikesan di Selangor menerusi saringan kontak rapat kes positif ke-9,286.

“Manakala satu lagi kes dikesan di Kedah menerusi kes saringan kontak rapat kes positif ke-9,284,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 160 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Katanya, ada tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 10 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,038 kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19