Covid-19: 150 kes baharu, satu kematian, 3 kluster baharu

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan 150 kes baharu hari ini dengan satu kematian menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 10,818 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 150 kes baharu yang dilaporkan itu, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 146 kes penularan tempatan.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan tiga individu warga negara dan seorang bukan warga negara.

“Bagi 146 kes penularan tempatan, sebanyak 124 kes membabitkan warga negara manakala 22 bukan warga negara.

“Kes baharu Covid-19 hari ini mendapati Sabah kekal tertinggi iaitu 124, Selangor 11 kes, Kuala Lumpur enam kes dan Pahang empat kes.

“Tiga kluster baru iaitu dua di Sabah dan satu di Kuala Lumpur dikesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 50 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,835 kes iaitu 90.7 peratus.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 950 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Terdapat satu kematian baharu dilaporkan hari ini di Sabah menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 134,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19