COVID-19: 163 pesakit pulih di Korea Selatan kembali positif

Senario pesakit pulih kembali positif cetus kebimbangan di Korea Selatam. – Gambar fail

SEOUL : Para pakar perubatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC)  Korea Selatan dilaporkan 'bingung' dengan misteri 163 pesakit yang sebelum ini positif COVID-19 dan dibenarkan pulang selepas pulih, namun kini sekali lagi disahkan dijangkiti virus itu.

Senario sama berlaku di China sebelum ini apabila beberapa pesakit yang telah pulih disahkan positif, malah ada yang meninggal dunia selepas sembuh dan keluar dari hospital.

CNN yang memetik Timbalan Pengarah KCDC, Kwon Joon-wook sebagai berkata, keadaan ini mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan virus itu kembali aktif terhadap pesakit yang pulih.

Beliau memberitahu, angka itu menyaksikan kira-kira 2.1 peratus daripada 7,829 pesakit yang telah disahkan pulih dijangkiti semula virus berkenaan.  

"Pun begitu jumlah pesakit pulih yang dilakukan proses saringan semula tidak dapat dipastikan dengan jelas," katanya di sini pada Jumaat.

Joon-wook yakin, saringan itu mungkin dilakukan dengan menggunakan kaedah Asid Ribonuklik (RNA) di mana ujian itu sangat sensitif.

Teori yang sama sebelum ini dikemukakan oleh pakar terkemuka China, Zhong Nanshan membabitkan isu sama.

Beliau mengandaikan serpihan penyakit itu masih 'terlekat' pada tubuh badan manusia dan doktor itu menjelaskan yang beliau tidak bimbang dengan perkara itu.

Antara lain teori mengatakan sama ada ujian yang dilakukan sebelum ini ke atas individu berkenaan wujud sedikit ralat, yang besar kemungkinan hasilnya tidak tepat atau virus itu diaktifkan semula.

Joon-wook menambah, setakat ini belum ada indikator yang menunjukkan individu yang telah diuji semula positif menjangkiti individu lain meskipun 44 peratus daripada mereka menunjukkan gejala ringan.

"Sehingga sekarang, para ahli sains juga tidak dapat merungkai 'kekebalan' sebenar virus itu," ujarnya.

Beliau juga mengakui yang virus COVID-19 adalah patogen yang paling mencabar kepada dunia kesihatan dalam dekad ini.

"Ini adalah musuh yang terlalu mencabar dan sukar untuk kita berdepan," tambahnya.