Covid-19: 170 positif, satu kematian [METROTV]

SATU kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 63 kes.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, sebanyak 170 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga kini.

“Ini menjadikan kes terkumpul sebanyak 3,963 di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 92 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 50 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, sebanyak 80 pesakit dibenarkan keluar wad hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,321 setakat ini.

Mengulas mengenai kematian terbaru itu, Noor Hisham berkata, kes kematian ke-63 (kes ke-3794) merupakan lelaki tempatan berusia 71 tahun yang berasal daripada Perlis.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 hingga 24 Mac lalu. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor pada 5 April dan disahkan meninggal dunia pada 6 April jam 11.00 malam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19