Covid-19: 1,925 kes baharu, Selangor catat 747 kes

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,925 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif dalam negara sebanyak 108,615 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, denga kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 21,443 kes.

Menurutnya, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 1,915 kes membabitkan penularan tempatan.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes dengan 625 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Kuala Lumpur yang mencatatkan 360 kes dan Pahang 288 kes.

“Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster berkaitan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga.

“Sebanyak 307 kes pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes) dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Noor Hisham berkata, terdapat 117 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, terdapat sebanyak 1,123 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 86,715 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini membabitkan seorang lelaki warganegara berusia 65 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan strok.

“Satu lagi kes membabitkan wanita berusia 68 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19