COVID-19: 198 kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan lebih 2,000

Republik Singapura juga melaporkan kematian ketujuh akibat jangkitan COVID-19 melibatkan wanita warga Singapura berumur 86 tahun.

SINGAPORE: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Jumaat melaporkan sebanyak 198 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 2,108 kes.

Dalam kenyataan di sini, MOH berkata daripada 198 kes baharu itu, tiada kes import dilaporkan, sebanyak 98 kes berkaitan dengan kluster yang diketahui, 29 kes berkaitan dengan kes lain manakala 71 lagi masih menunggu pengesanan kontak.

Kementerian itu berkata antara kes yang mempunyai kaitan, sebanyak 79 kes berkaitan kluster asrama pekerja asing dan 48 kes berkaitan kluster bukan asrama dan kes lain.

Republik itu juga mengenal pasti tiga lagi kluster melibatkan satu lagi asrama di 31 Sungei Kadut Avenue dengan empat kes yang disahkan.

Ini menjadikan sebanyak 10 daripada 43 asrama di republik itu terlibat dengan jumlah keseluruhan sebanyak 545 kes setakat ini.

Satu lagi kluster ialah bangunan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Kallang Road dengan lima kes dan tapak pengubahsuaian di National University Hospital di Lower Kent Ridge Road dengan 14 kes.

Sementara itu, dua kes tempatan melibatkan lelaki warga Malaysia dilaporkan iaitu individu berumur 53 tahun mempunyai kaitan dengan kes 1318 manakala seorang lagi berumur 31 tahun yang dikenal pasti sebagai tidak mempunyai kaitan.

Mereka kini dirawat di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

MOH berkata tiga kes adalah dari sektor penjagaan kesihatan awam yang melibatkan dua doktor di Tan Tock Seng Hospital dan seorang lagi adalah Patient Service Associate di Hougang Polyclinic.

Republik itu juga melaporkan kematian ketujuh akibat jangkitan COVID-19 melibatkan wanita warga Singapura berumur 86 tahun.

Pesakit itu yang meninggal dunia pada Khamis dimasukkan ke NCID pada 1 April dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama, menurut kementerian itu.

Menurut MOH, sebanyak 32 lagi kes jangkitan COVID-19 telah didiscaj daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti menjadikan jumlah keseluruhan 492 kes telah pulih sepenuhnya.

Daripada 875 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakan pesakit berada dalam keadaan stabil manakala 32 dirawat di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu, sebanyak 734 lagi kes yang sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19 diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.

Setakat 12 tengah hari Jumaat, MOH telah mengenal pasti 22,674 kontak rapat dan telah dikuarantin.

— BERNAMA