Covid-19: 2 kematian, 71 kes baharu direkodkan hari ini [METROTV]

DUA kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 95 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 71 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 5,603 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 42 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 21 menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus meningkat. Terbaru, seramai 90 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 3,542 pesakit telah sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 63.2 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,966 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Berikut laporan terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

1) Kes kematian ke-94 (kes ke-3,871)

• Wanita warga Malaysia berusia 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

• Beliau adalah anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-3,662 (yang

berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).

• Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 23 April, 12.36 tengah malam.

• Ini kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan KKM.

2) Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129)

• Lelaki warga Malaysia berusia 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

• Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali).

• Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 22 April, 11.48 malam.

Terdahulu hari ini, Harian Metro melaporkan, Nadila Rahmat, 32, jururawat di wad ortopedik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar meninggal dunia pada 12.36 tengah malam selepas hampir 17 hari dirawat di ICU, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    Berita berkaitan

    • Jururawat ‘pergi’ selepas 17 hari dirawat akibat Covid-19