Covid-19: 25 kes baharu, 12 kluster Sivagangga

SEBANYAK 25 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan 9,063 kes dan tiada kematian sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan lapan rakyat Malaysia dan seorang bukan warganegara.

Menurutnya, semua individu yang disahkan positif itu sudah diasingkan untuk pengawasan dan rawatan lanjut dengan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 210 kes.

“Sembilan kes import yang direkodkan dijangkiti dari Filipina, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Afrika Selatan, Australia dan Yaman.

“Bagi 16 kes penularan dalam negara, 15 daripadanya adalah dalam kalangan warganegara membabitkan 12 daripada kluster Sivagangga di Perlis (10), Kedah (1) dan Pulau Pinang (1) dan seorang bukan warganegara yang positif adalah pendatang tanpa izin (Pati) di Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini hanya dua pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, jumlah kematian akibat Covid-19 masih kekal 125 kes selepas tiada kematian direkodkan hari ini dan 15 kes sudah pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 8,728 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19