Covid-19: 57 kes baharu hari ini, 2 kematian [METROTV]

DUA kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 102 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 57 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 6,002 kes keseluruhan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes baharu itu membabitkan kes import, manakala 32 kes lagi membabitkan penularan dalam komuniti.

Katanya, seramai 36 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 14 pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus meningkat. Terbaru, seramai 84 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 4,171 pesakit telah sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 69.5 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,729 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Berikut laporan terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

LAPORAN terperinci dua kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan hari ini. INFOGRAFIK ihsan KKM
LAPORAN terperinci dua kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan hari ini. INFOGRAFIK ihsan KKM

  • Lagi berita berkaitan Covid-19