COVID-19: 69 peratus pesakit di India tiada simptom

Penyelidik masih bergelut untuk memahami kes pesakit tanpa gejala kerana kemungkinan pesakit yang positif COVID-19 akan semakin meningkat.

NEW DELHI : Kira-kira 69 peratus daripada 18,801 pesakit yang disahkan positif COVID-19 di India tidak menunjukkan sebarang gejala awal.

Ketua Bahagian Penyakit Epidemiologi, Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR). Dr RR Gangakhedhar berkata keadaan ini amat membimbangkan kerana pesakit berpotensi untuk menjangkiti kontak rapat tanpa disedari.

Dipetik Times of India, beliau berkata data pesakit yang bebas gejala adalah terlalu banyak dan ia  menjadi cabaran baharu kepada India untuk mengekang pandemik itu.

Beliau memberitahu, penyelidik juga masih bergelut untuk memahami kes itu kerana kemungkinan pesakit yang positif COVID-19 namun tidak menunjukkan simptom dan bebas tanpa rawatan akan semakin meningkat.

"Ini bermakna angka sebenar mereka yang positif virus itu dijangka lebih tinggi memandangkan individu itu sendiri tidak menyedari dia dijangkiti virus," katanya di sini pada Rabu.

Gangakhedhar menjelaskan dalam setiap satu kes positif yang dikenal pasti, terdapat dua kes positif daripada kumpulan pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala awal.

Lebih membimbangkan, katanya kes jangkitan yang dikesan setakat ini dikenal pasti daripada hasil pengesanan kontak dan jika tidak, tiada sebab bagi mereka menjalani ujian.

"Oleh itu dalam usaha membendung penularan COVID-19, langkah terus berada di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan agar virus itu tidak merebak dan menjangkiti orang lain adalah penting," jelasnya.