Covid-19: 7 kes baharu, 6 pulih

JANGKITAN Covid-19 dalam negara merekodkan tujuh kes baharu, hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,274 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes baharu itu membabitkan lima kes penularan dalam negara dan dua kes import.

Beliau berkata, semua lima kes baharu penularan dalam negara itu dilaporkan di Sarawak membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara.

Menurutnya, kes bukan warganegara itu ialah dua kes saringan di tempat kerja apabila mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes lagi saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Baki dua kes penularan di dalam negara adalah satu kes saringan di tempat kerja apabila beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke HUS dan satu kes saringan sebelum bersalin yang tidak bergejala dan dimasukkan ke HUS.

“Dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Filipina dan Amerika Syarikat.

“Sehubungan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 184 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan media harian Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,965 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Beliau berkata, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19