COVID-19: 7,000 nasihat bertulis dikeluarkan pada hari pertama kepada yang ingkar arahan jarak selamat di Singapura

Langkah menjaga jarak yang selamat diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 3 April lepas. -BERNAMA.

SINGAPURA: Lebih 7,000 nasihat bertulis dikeluarkan kepada orang awam yang melanggar arahan menjaga jarak selamat, terutama di pusat penjaja dan pasar, demikian menurut Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura.

Langkah agar menjaga jarak yang selamat, disebut juga sebagai pemutus rantaian, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 3 April lepas, dilancarkan semalam untuk tempoh sebulan yang bertujuan membendung penularan COVID-19.

Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa langkah itu termasuk nasihat bertulis yang diberikan kepada orang awam di tempat sesak di pasar bagi mengingatkan mereka agar menjaga jarak yang selamat apabila beratur atau membuat pembayaran dengan berdiri dalam garis penanda di lantai.

"Nasihat juga dikeluarkan kepada pemilik kedai yang menjual minuman untuk dinikmati di pusat penjaja," katanya dalam laman sesawangnya.

Menurut kementerian itu, lebih 2,000 Duta Jarak Selamat dan Bersih SG, dan Pegawai Penguatkuasa (EO) ditempatkan di kawasan Perumahan dan Lembaga Pembangunan (HDB) di seluruh republik ini bagi memastikan pematuhan langkah jarak selamat.

Duta dan EO ditugaskan oleh kementerian itu, bersama-sama dengan agensi berkenaan, di tempat-tempat seperti pusat bandar, pusat penjaja, kedai kopi, pusat pengangkutan awam, taman, dan kelab atau pusat komuniti.

Di bawah Rang Undang-undang Langkah Sementara COVID-19 yang diluluskan di Parlimen semalam, pesalah kali pertama akan menghadapi hukuman denda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh menghadapi denda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

— BERNAMA