Covid-19: 7,779 sampel diuji menunggu keputusan [METROTV]

JUMLAH keseluruhan sampel koronavirus baharu (Covid-19) yang sudah diambil membabitkan 45,378 kes, sejak penularan wabak itu di negara ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,116 kes positif Covid-19 dicatatkan setakat hari ini dengan pertambahan 208 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki kes sebanyak 34,483 diuji negatif, manakala 7,779 kes pula masih menunggu keputusan.

“Daripada jumlah keseluruhan, hanya 7.2 peratus yang diuji positif Covid-19.

“Selain itu, kluster tabligh di Masjid Seri Petaling mencatatkan 1,407 kes positif berbanding 15,380 jumlah sampel yang diambil dengan 10,000 daripadanya mencatatkan keputusan negatif,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 43 makmal termasuk milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), makmal kesihatan awam (MKA) dan swasta serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta seluruh negara dipertingkatkan dengan kapasiti membuat ujian masa sebenar RT-PCR bagi mengesan Covid-19.

“Di KKM, kita mula dengan 12 hospital dengan pertambahan dua hospital lagi iaitu Hospital Sibu, Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Selain itu lima MKA selain Institut Penyelidikan Perubatan turut mengadakan latihan untuk 14 makmal milik universiti awam atau swasta.

“Bagi makmal milik swasta, ada tujuh yang boleh melakukan ujian berkenaan selain satu makmal milik Angkatan Tentera Malaysia.

“Bagaimanapun, kita akui makmal baharu ini masih belum mencapai keupayaan sebenarnya dan diharap dapat mempertingkatkan kapasiti ujian mereka,” katanya.

Katanya, KKM berharap dengan adanya 43 makmal dan lima lagi makmal di IPTA dapat menampung keperluan ujian sehingga 16,500 sehari.

INFOGRAFIK Ihsan KKM
INFOGRAFIK Ihsan KKM

  • Lagi berita berkaitan Covid-19