Covid-19: 8 kes baharu hari ini, 5 daripadanya Kluster Tawar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan lapan kes baharu penularan Covid-19 dalam negara dengan tiada pertambahan kematian direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di Malaysia kini 9,257 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 183 kes.

Menurutnya, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan seorang warga Malaysia dan dua warga asing.

“Tiga kes import itu masing-masing dari Bangladesh, Belanda dan Filipina.

“Lima kes penularan tempatan pula membabitkan Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat empat kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,949 kes atau 96.7 peratus.

“Lapan individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana empat pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, kes kematian kekal 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19