Covid-19: 95 sembuh, 84 kes baharu dan 1 kematian [METROTV]

SATU kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 89 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 84 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 5,389 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 46 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 26 menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus meningkat. Terbaharu, seramai 95 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 3,197 pesakit atau 59.32 peratus telah sembuh dan discaj hospital.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 2,103 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kematian terbaharu itu, Noor Hisham berkata, kes kematian ke-89 (kes ke-4769) merupakan lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2726.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April dan disahkan meninggal dunia pada 18 April jam 6.47 petang,” katanya.

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19