COVID-19: Anggaran 195 juta bakal hilang pekerjaan pada suku kedua – ILO

Menurut ILO, langkah kawalan pergerakan sama ada penuh atau separa telah menjejaskan hampir 2.7 bilion pekerja atau kira-kira 81 peratus daripada tenaga kerja dunia. -Gambar hiasan

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui organisasi buruhnya menjangkakan jutaan pekerja sepenuh masa akan hilang pekerjaan pada suku kedua tahun ini akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Unjuran daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu adalah berdasarkan kepada kehilangan 6.7 peratus jam bekerja semasa yang menyamai tugas 195 juta pekerja sepenuh masa, lapor AP.

Jangkaan ini merupakan peningkatan besar berbanding kenyataan pada 19 Mac lalu di mana ia meramalkan kehilangan 25 juta pekerja untuk sepanjang tahun 2020.

Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder berkata, "Angka ini menjelaskan keadaan bahawa dunia pekerjaan mengalami kejatuhan yang sangat luar biasa."

Agensi itu berkata langkah kawalan pergerakan sama ada penuh atau separa kini telah menjejaskan hampir 2.7 bilion pekerja atau kira-kira 81 peratus daripada tenaga kerja dunia.

Daripada jumlah itu, 1.25 bilion pekerja berada dalam sektor terjejas teruk seperti perkhidmatan hotel dan makanan, pembuatan dan runcit.