COVID-19: Angka kematian melebihi 113,000 di seluruh dunia

AS kekal menjadi negara paling teruk terjejas dengan wabak itu apabila merekodkan 550,016 kes. – Gambar Astro AWANI

ANGKA kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan mencatatkan jumlah kumulatif 113,362 pada pagi Isnin.

Menurut data daripada Johns Hopkins University, terdapat peningkatan lebih 5,000 kematian dalam tempoh 24 jam.

Amerika Syarikat (AS) kini menjadi negara paling tinggi angka korban melepasi Itali apabila menjadi satu-satunya negara yang mempunyai angka kematian melebihi 21,000 orang.

Itali pula di kedudukan kedua dengan kematian menghampiri 20,000 orang.

Sepanyol menjadi negara ketiga mempunyai kematian tertinggi iaitu 17,113.

Sementara itu, Perancis mencatatkan kes kematian sebanyak 14,412 manakala jumlah di Britain buat pertama kalinya melepasi 10,000 mangsa.

Dalam pada itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri 1.9 juta orang.

Ia mencatatkan pertambahan melebihi 80,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Lima negara mempunyai kes positif COVID-19 melebihi angka 100,000.

AS kekal menjadi negara paling teruk terjejas dengan wabak itu apabila merekodkan 550,016 kes.

Ia diikuti Sepanyol dan Itali apabila masing-masing mencatatkan 166,127 dan 156,363 kes secara keseluruhan.

Manakala Perancis dan Jerman  berada di kedudukan keempat dan kelima dengan mencatatkan angka jangkitan kes positif sebanyak 133,669 dan 127,459 kes.

Sementara Britain mengatasi China untuk berada di kedudukan keenam dengan lebih 85 ribu kes positif.

Manakala China hanya mencatatkan pertambahan 120 kes untuk berada di kedudukan ketujuh dengan 83,134 kes.