COVID-19: Angka korban di Indonesia cecah 198, pemerintah kekal arahan pembatasan sosial

Rakyat Indonesia masih bebas keluar rumah namun mereka perlu mematuhi arahan PSBB.

JAKARTA: Pemerintah Indonesia tidak mengenakan larangan keluar rumah bagi menangani pandemik COVID-19 namun kekal menekankan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) dalam semua aspek aktiviti masyarakat untuk mencegah penularan virus itu.

Ketika jumlah kematian akibat virus itu meningkat kepada 198 kes, rakyat Indonesia masih bebas keluar rumah, namun, mereka perlu mematuhi arahan PSBB selain memberi penekanan berkaitan penjagaan kebersihan diri dan kesihatan.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan COVID-19 Achmad Yurianto berkata tujuh lagi kematian dicatat dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah setakat ini ialah 198, manakala kes positif bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini meningkat kepada 2, 273.

"Mulai hari ini, pemerintah juga menasihatkan seluruh rakyat Indonesia memakai penutup muka kain, yang maksimum empat jam digunakan sebelum dicuci untuk kegunaan semula," katanya.

Pada 31 Mac lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo menetapkan bahawa Indonesia berstatus darurat atau kecemasan kesihatan susulan penularan wabak COVID-19 dan memerintahkan pelaksanaan PSBB.

Jakarta masih menjadi provinsi tertinggi mencatat kematian akibat COVID-19 iaitu sebanyak 95 kes.

Sekalipun tiada larangan keluar rumah, Jakarta kini 'sepi' berikutan beberapa langkah yang dilakukan secara berperingkat sejak 16 Mac lepas seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, pusat hiburan selain arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal, larangan berhimpun atau berkumpul dalam skala besar, pembatasan penggunaan pengangkutan awam serta kempen 'duduk di rumah aja.' – BERNAMA