COVID-19: Bank pusat S’pura jamin khidmat kewangan terus beroperasi

Semua pasaran kewangan di Singapura tetap dibuka dan perkhidmatan pembayaran juga tidak terjejas.- Bernama

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini memberi jaminan bahawa perkhidmatan kewangan akan terus dibuka untuk kemudahan pelanggan republik itu serta pihak berkaitan di peringkat global.

"Semua pasaran kewangan di Singapura tetap dibuka dan perkhidmatan pembayaran juga tidak terjejas," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan pengumuman kerajaan Singapura hari ini yang memutuskan untuk melaksanakan langkah lebih tegas mulai minggu depan, termasuk penutupan sebahagian besar pejabat susulan peningkatan kes dan kluster baharu COVID-19.

MAS berkata, perkhidmatan kewangan itu juga merupakan antara perkhidmatan utama yang dikecualikan daripada sebarang penangguhan aktiviti di premis kerja berikutan pelaksanaan langkah penjarakan sosial.

Dalam pada itu, ia berkata semua institusi kewangan akan terus beroperasi walaupun dalam keadaan jumlah pekerja dikurangkan di premis masing-masing.

"Perkhidmatan perbankan akan terus disediakan menerusi dalam talian, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan cawangan bank.

"Selain itu, perkhidmatan insurans, pembrokeran, pengurusan aset dan khidmat nasihat kewangan juga akan terus disediakan," kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, bank pusat itu berkata, beberapa cawangan bank dan firma kewangan serta pusat khidmat pelanggan syarikat insurans berkemungkinan besar ditutup sementara dalam usaha mengurangkan aliran pelanggan.

"Pihak bank juga akan menyediakan wang tunai mencukupi dalam ATM dan tiada sebab untuk orang ramai mengeluarkan lebih banyak tunai berbanding keperluan mereka," kata kenyataan MAS. – BERNAMA