COVID-19: Bermula hari ini semua kedai di Bangkok ditutup dari tengah malam ke 5 pagi

Sejak penularannya pada Januari, sehingga kini Bangkok mencatatkan 850 kes COVID-19. – Gambar REUTERS

BANGKOK: Sebagai langkah terkini dalam mengekang COVID-19, semua kedai termasuk pasar raya, kedai serbaneka, restoran dan gerai di Bangkok, akan ditutup mulai tengah malam hingga 5 pagi bermula malam ini sehingga 30 April.

Selain itu, semua padang awam dan persendirian termasuk di kondominium dan komuniti juga akan ditutup sementara bermula esok sehingga 30 April, bagi mengelakkan perhimpunan orang ramai.

Perkara itu dimaklumkan Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang melalui satu kenyataan. Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Bangkok.

Sejak penularannya pada Januari, sehingga kini Bangkok mencatatkan 850 kes COVID-19.

Dengan status kecemasan negara dikuatkuasakan di seluruh negara di Thailand bermula 26 Mac hingga 30 April bagi mengekang pandemik COVID-19, semua pusat membeli belah, premis hiburan dan venue sukan yang menjadi tarikan orang ramai ditutup, manakala pasar raya yang menjual makanan dan keperluan harian, pasar menjual produk segar, farmasi dan kedai serbaneka akan terus dibuka. Restoran juga boleh terus dibuka dan hanya menyediakan makanan yang dibungkus atau penghantaran sahaja.

Mengikut arahan kecemasan, kemasukan warganegara asing tidak dibenarkan. Bagaimanapun warganegara Thai, wakil diplomatik, warganegara asing dengan permit kerja dan mereka yang bekerja di dalam sektor pengangkutan barangan, akan dibenarkan untuk masuk.

Hari ini, Thailand mengesahkan 120 kes baru COVID-19 dan dua kematian, menjadikan keseluruhan kes kepada 1,771 dengan 12 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, dua yang mati termasuk seorang lelaki berusia 79 tahun dari Yala, selatan Thai yang menghadiri sati majlis perkahwinan di Kelantan, Malaysia, pada awal Mac dan seorang peniaga lelaki berusia 58 tahun yang baru balik dari England bulan lepas.

"Sehingga kini, Thailand mencatatkan 1,771 kes COVID-19 dengan 416 telah dibenarkan pulang, manakala 1,343 masih dirawat di hospital, termasuk 23 dalam keadaan kritikal.

"Daripada jumlah itu, 1,500 pesakit adalah warganegara Thai, manakala 271 adalah warganegara asing," katanya.

Sementara itu, Thailand dalam proses untuk memberikan pembaharuan automatik visa pelancong, kepada mereka yang tiba di negara itu selepas 1 Mac.

Timbalan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Natapanu Nopakun berkata, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha sedar, akan barisan beratur yang panjang di pejabat Imigresen di Kompleks Kerajaan Chaengwattana.

"Ia sudah ada dalam senarai, yang kita akan berikan penambahan masa visa secara automatik kepada mereka yang tiba selepas 1 Mac.

"Cadangan itu telah diluluskan dalam mesyuarat kabinet semalam. Kementerian dan agensi berkaitan akan membuat pengumuman rasmi kemudian," katanya.

Natapanu berkata, Thailand sedang memberikan bantuan kepada rakyat Thai termasuk pelajar di bawah program pertukaran budaya Perkhidmatan Lapangan Amerika (AFS), dan juga pekerja di luar negara untuk pulang.

"Agensi-agensi berkaitan sedang melakukan usaha terbaik mereka, dalam membantu warganegara Thai untuk pulang. Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan Awam dan agensi lain akan memastikan mereka pulang mengikut kesemua langkah-langkah yang telah dikuatkuaskan," katanya.

Sehingga kini, kira-kira 500 pelajar AFS telahpun pulang dan 300 yang lain kekal di seluruh dunia, tambanya.

— BERNAMA