COVID-19: Chile mula longgarkan perintah berkurung

Chile merekodkan 387,502 kes positif menjadikannya negara kesembilan teruk terjejas seluruh dunia dengan 10,513 kematian. – Gambar fail REUTERS

PIHAK berkuasa Chile mengambil langkah pertama melonggarkan sekatan di ibu kota negara itu pada Isnin selepas beberapa bulan melaksanakan perintah berkurung bagi membendung COVID-19.

Komuniti di Santiago dan Estacion Central bergerak ke arah fasa peralihan atau kelonggaran sebahagian sekatan perintah berkurung.

Bagaimanapun, perintah berkurung tetap dikuatkuasakan pada hujung minggu dan hari cuti, manakala kelonggaran diberikan bermula Isnin sehingga Jumaat.

Semua premis perniagaan juga dibenarkan beroperasi semula dengan pematuhan kepada SOP.

Chile melaksanakan perintah berkurung sejak pertengahan Mei ketika kes positif harian meningkat mendadak.

Kata Setiausaha Kesihatan Chile, Paula Daza, Santiago dan Estacion Central masing-masing dikenakan perintah berkurung selama lima dan tiga bulan.

"Kami juga memberikan garis panduan penjagaan diri yang sangat penting bagi orang ramai untuk menjaga diri mereka sendiri, menggunakan pelitup muka dengan baik, mencuci tangan sebelum keluar, membawa gel alkohol dan mengelakkan berhubungan secara langsung, itu adalah menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Chile merekodkan 387,502 kes positif menjadikannya negara kesembilan teruk terjejas seluruh dunia dengan 10,513 kematian.