COVID-19: Donald Trump, Mike Pence disahkan negatif

Trump sebelum ini dikritik kerana memberikan mesej yang bercampur dalam menangani COVID-19. (Foto AP/Fail)

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Naib Presiden Mike Pence disahkan negatif koronavirus selepas seorang anggota tentera AS yang bertugas di White House disahkan positif virus itu.

Semasa pertemuan dengan gabenor Texas di Oval Office pada Khamis, Trump berkata kepada wartawan, beliau tidak banyak berhubungan dengan anggota itu dan akan terus melakukan ujian saringan COVID-19.

Bagaimanapun, Trump dan Pence masih tidak menggunakan topeng penutup mulut dan hidung dalam mesyuarat itu.

Kakitangan yang bekerja bersama presiden di White House telah menjalani ujian saringan COVID-19 namun mereka juga masih tidak menggunakan topeng.

Trump sebelum ini dikritik kerana memberikan mesej yang bercampur dalam menangani wabak tersebut.

Ini berikutan beberapa lawatannya ke kawasan tertentu tidak memakai topeng walaupun pada awalnya beliau menjelaskan mahu memakainya.