COVID-19: Donald Trump serang WHO, ASEAN disaran teguh bersatu

Negara anggota ASEAN disaran bersatu teguh tidak terpengaruh dengan langkah Donald Trump pertikai kewibawaan WHO semasa perang COVID-19 masih belum selesai. – AP

ASEAN perlu teguh menghadapi penularan 'infodemik' berpunca tindakan dan serangan Donald Trump terhadap WHO yang boleh melemahkan usaha mengekang cabaran pandemik COVID-19.

Donald Trump memeranjatkan dunia bertindak menarik balik sumbangan sebanyak AS$200 juta kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia atau World Health Organisation (WHO) itu pada Selasa.

Sebagai langkah awal, sumbangan sukarela itu akan disekat selama 60 hari, menanti siasatan yang akan dilakukan oleh Amerika.

Amerika menyumbang AS$400 juta yang merupakan 15 peratus bajet WHO yang mempunyai 193 negara anggota tahun lalu.

Trump menuduh WHO lemah mengurus, terlalu memanjakan China dan gagal mengekang penularan virus korona seawal mungkin.

Suara lantang agar ASEAN bersatu melawan cabaran Trump dibuat Dr Renzo Gento, felo kanan Aspen Institute dalam ruangan Komen oleh akhbar the Jakarta Post pada Khamis.

Gento menasihat ASEAN tidak terpengaruh atau terjebak dengan perang buatan terhadap WHO.

Sebaliknya, setiap negara yang masing-masing sedang bergelumang dalam perang pandemik perlu bersatu menepis serangan Trump.

Beliau menambah, 10 negara anggota ASEAN dengan penduduk 650 juta merupakan ekonomi kelima terbesar dunia.

“ASEAN perlu mengambil vaksin agar tidak terjebak dengan serangan infodemik yang disebar Donald Trump,” katanya.

Sokongan ASEAN tidak bermaksud WHO mahupun Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Gebryesus, termasuk China mendapat 'pas percuma' dalam isu ketelusan dan kecekapan.

Menurut Gento, segala tindakan yang menimbulkan keraguan melibatkan individu, pertubuhan atau negara pasti akan diselidiki tetapi ini bukan waktunya.

Trump dikutuk Richard Horton, ketua pengarang jurnal perubatan berpengaruh The Lancet yang menyifatkan tindakan itu sebagai jenayah kemanusiaan.

Tambah Horton; “Setiap saintis, petugas kesihatan, warga dunia perlu bangkit menegur dan membantah pengkhianatan terhadap kesejagatan dunia ini.”

Pengasas Microsoft dan dermawan Bill Gates menyifatkan tindakan mengejut itu mengundang bahaya pada waktu dunia menghadapi krisis. Tambahnya, usaha mengekang pandemik yang dilakukan WHO tidak mampu dilakukan mana-mana badan lain.

Gates, melalui the Bill and Melinda Gates foundation merupakan penyumbang kedua terbesar – AS$530 juta untuk tahun perbelanjaan 2018-2019 WHO.

WHO menurut Gento memerlukan satu dunia berkerjasama dan warga dunia perlukan kerajaan yang peka kemahuan mereka. ASEAN tambah Gento, perlu menolak tohmahan dan tidak perlu buang tenaga melayan setiap tweet Donald Trump.