COVID-19: Dua kapal persiaran sedia tempatkan pekerja asing yang telah pulih di Singapura

Dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, STB berkata SuperStar Gemini telah menerima pekerja asing yang telah pulih daripada jangkitan virus itu. – Facebook Singapore Tourism Board

SINGAPURA: Dua kapal persiaran – SuperStar Gemini dan SuperStar Aquarius kini bersedia untuk dijadikan sebagai tempat penginapan sementara bagi pekerja asing yang telah pulih daripada jangkitan COVID-19 di republik ini.

Dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata SuperStar Gemini telah menerima pekerja asing yang telah pulih daripada jangkitan virus itu.

"Selepas melalui penilaian teliti pelbagai agensi, sekumpulan pekerja menaiki kapal itu pada 29 April dari Marina Bay Cruise Centre, yang kini dilengkapi ruang sakit dan stesen pengasingan," menurut STB.

STB menyatakan beberapa penilaian turut diambil kira untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja asing itu seperti sistem pengudaraan kapal, makan di dalam kabin dan bilik dilengkapi tandas.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memindahkan pekerja ke tempat tinggal alternatif untuk mengurangkan penularan virus di asrama mereka," katanya.

Menurut STB kapal persiaran kedua, SuperStar Aquarius, juga telah lulus penilaian pihak berkuasa dan bersedia untuk menerima pekerja asing.

 

Sumber Facebook STBsingapore

Pada 17 April, STB mengatakan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggunakan dua kapal persiaran bersaiz sederhana, sebagai tempat tinggal sementara pekerja asing.

Kedua-dua kapal itu berupaya menampung sehingga 2,000 pekerja asing.

Sehingga Khamis sebanyak 16,169 pekerja asing di asrama menguasai jumlah keseluruhan iaitu kira-kira 85 peratus atau 13,842 kes.

— BERNAMA