COVID-19: Hanya 12 jam, YouTuber ini berjaya raih dana hampir RM3 juta

Sean McLoughlin berjaya meraih kutipan dana hampir AS$660,000 dalam tempoh hanya 12 jam. -Twitter/ Jacksepticeye

LONDON: Seorang pemain permainan video di London, England berjaya meraih kutipan dana sejumlah hampir AS$660,000 (kira-kira RM2.8 juta).

Paling menarik, jumlah sumbangan untuk misi COVID-19 itu berjaya dikutip dalam tempoh hanya 12 jam, lapor CNN.

Malah, jumlah kutipan sebanyak AS$654,884.10 itu adalah hampir 40 peratus sumbangan awam yang dibuat sebelum ini.

Kutipan dana terdahulu sempena Hari Kesihatan Sedunia hanya mampu meraih sebanyak AS$1.7 juta (kira-kira RM7.4 juta).

Sean McLoughlin menganjurkan siaran langsung saluran #HopeFromHome pada Selasa di mana dia berjaya mengumpulkan penghibur, 'influencer', serta pemain permainan video dari pelbagai platform termasuk YouTube, Facebook Twitter dan TikTok.

"Saya tak dapat ungkapkan dengan kata-kata betapa hebatnya hari ini.

"Saya berasa amat teruja, dan saya amat berterima kasih kepada semua yang menderma dan menjadikan misi hari ini satu perubahan besar," tulis McLoughlin di akaun Twitter selepas sesi itu.

Seán, seorang warga Ireland, yang juga merupakan pemilik saluran YouTube "Jacksepticeye" memaklumkan dana itu akan disalurkan ke tiga organisasi amal global iaitu United Way Worldwide, COVID-19 Solidarity Response Fund for the World Health Organization, dan Comic Relief US's Red Nose Day.

Kesemua badan amal tersebut mengesahkan bahawa dana yang diperoleh akan disalurkan bagi membantu populasi yang terjejas akibat pandemik global, manakala sebahagian lagi akan disalur kepada pembangunan vaksin COVID-19.