COVID-19: Hanya 8 kes komuniti baharu dalam 528 kes harian di Singapura menjadikannya kini 14,951

Kluster terbesar Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mempunyai jumlah 2,286 kes yang disahkan. – Gambar fail

SINGAPURA: Singapura hari ini mengesahkan 528 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk lapan kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu di sini, peningkatan mendadak kes berkenaan melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Jumlah terbaharu itu menjadikan republik ini mencatatkan 14,951 kes.

Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa ia masih berusaha mengkaji kes berkenaan dan butiran terkini akan diumumkan kemudian pada hari ini.

Dalam kenyataan malam tadi, MOH menyatakan jumlah kes baharu dalam komuniti telah menurun daripada purata 29 kes sehari pada minggu sebelum ini kepada purata 20 kes sehari pada minggu lepas.

MOH memaklumkan bahawa daripada kes semalam iaitu 799 kes baharu, 51 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui manakala selebihnya masih menunggu pengesanan kontak.

Pada minggu yang lepas (20-26 April), kementerian berkata ia telah menemui kaitan untuk 1,216 kes yang sebelumnya tidak dikaitkan.

Menurut Kementerian, jumlah kes yang tidak dikaitkan dalam komuniti juga berkurangan daripada purata 19 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 13 sehari pada minggu lepas.

"Kami akan terus pantau dengan teliti jumlah berkenaan serta kes yang dikesan menerusi program pengawasan kami," menurutnya.

Daripada jumlah pada Isnin iaitu 14,423, Singapura mengklasifikasi 1,171 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 498 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak mendiami asrama.

Manakala penghuni asrama mendominasi jumlah kes dengan catatan 85 peratus atau 12,183 kes.

Singapura mengenalpasti tujuh lagi kluster baharu pada Isnin, iaitu Acacia Home; Hai Leck Engineering Pte Ltd; Lingjack Dormitory; 9, Gul Street 1; 3, Senoko Link; 44, Toh Guan Road East; dan 2, Woodlands Industrial Park E1.

Kluster terbesar Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mempunyai jumlah 2,286 kes yang disahkan.

Singapura menguatkuasa langkah pemutus litar lebih ketat, yang bermula 7 April dilanjutkan ke 1 Jun daripada tarikh yang dirancang sebelum ini pada 4 Mei.

— BERNAMA