Covid-19: Harap temui vaksin tempoh setahun

MALAYSIA bersama beberapa negara di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gigih mencipta vaksin bagi penawar jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) .

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyelidikan bersepadu di peringkat global itu diharapkan dapat menemui vaksin mujarab dalam tempoh setahun.

“Isu vaksin memang kita bincangkan bersama dan sekarang kerjasama bersepadu bukan hanya di negara kita tetapi negara lain contohnya di bawah WHO.

“Ada juga beberapa pertubuhan lain turut menjalankan penyelidikan dan diharapkan saintis serta pakar perubatan dapat menjalankan penyelidikan terbaik.

“Ini supaya kita dapat kenal pasti vaksin mujarab untuk pesakit dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai 69 kes sporadik, katanya, kes berkenaan kes yang tidak diketahui punca termasuk tiada sejarah luar negara serta tidak mempunyai kontak rapat individu dijangkiti atau berisiko tinggi.

Menurutnya, ia bermaksud apabila KKM melakukan tindakan pengawasan, kes sporadik didapati sudah berada di dalam komuniti.

“Kawalan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara tindakan pembendungan dan mitigasi yang dilakukan.

“PKP fasa pertama kepada fasa kedua sudah menunjukkan kesan apabila tiada pertambahan mendadak kes positif.

“Tetapi kita masih dalam perjuangan mengurangkan kes dan kalau boleh untuk menamatkan kes jangkitan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19