COVID-19: Iran rancang buka semula masjid di wilayah hijau

Warga Iran telah kembali membuka kedai, bazar dan taman sejak seminggu lalu ketika negara itu mula melonggarkan sekatan. – Reuters

IRAN merancang untuk membuka semula masjid di beberapa bahagian negara yang bebas daripada COVID-19 ketika negara itu sedang melonggarkan sekatan secara berperingkat.

Presidennya, Hassan Rouhani berkata, Iran akan dibahagikan kepada wilayah putih, kuning dan merah berdasarkan jumlah jangkitan dan kematian.

Menurut laporan Reuters yang memetik laman web Presiden Iran, kegiatan dan aktiviti di setiap wilayah akan dibataskan mengikut keadaan.

Kawasan yang secara konsisten tidak mempunyai kes jangkitan dan kematian akan dilabel putih dengan masjid akan mula dibuka semula dan sembahyang Jumaat boleh diteruskan.

Katanya label yang diberikan di mana-mana kawasan republik itu boleh berubah dan tidak menentu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara spesifik bila langkah-langkah itu akan mula dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi berkata, 116 kawasan di negara itu boleh dilabel putih dan 134 lagi berwarna kuning.

Warga Iran telah kembali membuka kedai, bazar dan taman sejak seminggu lalu ketika negara itu mula melonggarkan sekatan dengan peningkatan jumlah kematian setiap hari mulai menurun bawah 100 angka sejak 14 April.

Iran mempunyai angka kematian mencecah 5,710 dengan lebih 90,000 kes positif.