COVID-19: Itali catat kematian terendah dalam 3 minggu

Itali melaporkan jumlah kematian dalam sehari yang terendah dalam tiga minggu pada Ahad. -Reuters

ROM: Itali melaporkan jumlah kematian dalam sehari yang terendah dalam tiga minggu pada Ahad.

Menurut kerajaan negara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia adalah 431 orang pada Ahad.

Ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan naik kepada 19,899 orang.

Untuk hari kesembilan, jumlah yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut menurun dan mengurangkan tekanan ke atas perkhidmatan kesihatan Itali.

Sementara itu, 4,000 orang lagi disahkan positif COVID-19 di Itali pada Ahad.

Itali kini meningkatkan keupayaan menguji dan menyumbang kepada angka kes positif yang meningkat.

Negara itu turut mencatatkan 1 juta ujian sehingga Ahad.

Negara berkenaan meneruskan sekatan jalan untuk memastikan rakyatnya kekal di rumah terutama di hujung minggu perayaan Easter.