COVID-19: Itali catat penurunan kes positif, peningkatan pesakit sembuh

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan dibenarkan pulang mencatatkan pertambahan 2,563 kes dengan keseluruhan lebih 42,000. -AP Photo/Andrew Medichini

ROM: Itali mencatatkan penurunan 1,107 kes pesakit COVID-19 yang masih dirawat menjadikan jumlah keseluruhan yang masih dirawat di hospital berkurang kepada 25,768 pesakit.

Menurut Pesuruhjaya Khas Koronavirus Itali, Angelo Borelli, pertambahan jumlah kes baharu pandemik itu juga semakin berkurangan sejak 27 Mac lalu.

Bercakap dalam sidang media harian di Rome, Borelli berkata, tekanan terhadap barisan hadapan di hospital semakin berkurang berikutan penurunan jumlah pesakit.

Ini dibantu dengan penurunan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Kita melakukan usaha yang baik di hospital, langkah-langkah pengasingan dan kerjasama rakyat, membuatkan trend penularan semakin perlahan.

"Pada tahap darurat ini, kami telah memutuskan untuk menjadualkan semula semua sidang media , tetapi kami memberi jaminan ketelusan.

"Kami akan terus menyiarkan nombor dan statistik secara harian dalam laman web dan sosial media.

"Mulai sekarang, kami akan melakukan sidang media pada Isnin dan Selasa pukul 6 petang (waktu tempatan)," katanya.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan dibenarkan pulang pula mencatatkan pertambahan 2,563 kes dengan keseluruhan lebih 42,000.

Borelli mengucapkan tahniah kepada pihak hospital serta rakyat Itali kerana mengurangkan penyebaran COVID-19.