COVID-19: Jepun bakal isytihar darurat, langkah ketat buat zon terjejas teruk

Abe sebelum ini dilaporkan belum berhasrat untuk mengisytiharkan darurat atas faktor semasa. – Gambar Reuters.

TOKYO: Jepun bakal mengisytiharkan darurat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara itu.

Menurut laporan akhbar tempatan, Yomiuri, Perdana Menterinya, Abe Shinzo akan mengumumkan keputusan pengisytiharan itu seawal-awalnya pada Selasa susulan bandar Tokyo kini mencatatkan lebih 1,000 kes jangkitan.

Difahamkan, pengisytiharan darurat itu tidak akan melibatkan perintah berkurung seperti di beberapa negara lain.

Sebaliknya, pendekatan itu bakal menyaksikan penguatkuasaan langkah-langkah ketat terhadap rakyatnya supaya tidak keluar dari rumah serta arahan penutupan perniagaan di beberapa zon yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Bagaimanapun, tiada sebarang denda akan dikenakan kepada rakyat yang ingkar kerana Jepun sentiasa menyaksikan kadar pematuhan arahan yang tinggi dalam situasi darurat, lapor Reuters.

Sebelum ini, Abe dilaporkan belum berhasrat untuk mengisytiharkan darurat atas faktor semasa terutama membabitkan penetapan tarikh baharu Olimpik Tokyo 2020.

BACA: COVID-19: Jepun belum berhasrat isytihar darurat, sedia tangguh Olimpik

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagaimanapun baru-baru ini bersepakat menetapkan tarikh baharu Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021. 

BACA: Tarikh baharu Olimpik Tokyo 23 Julai – 8 Ogos 2021

Jepun setakat Isnin mencatatkan lebih 3,500 kes jangkitan dengan 85 kematian akibat wabak COVID-19.