COVID-19: Kehabisan PPE, doktor UK dinasihat pakai apron

Semakin ramai para doktor dan jururawat di barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 di United Kingdom terdedah kepada risiko jangkitan apabila mengalami kekurangan bekalan PPE. -AP

LONDON: Semakin ramai para doktor dan jururawat di barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 di United Kingdom terdedah kepada risiko jangkitan apabila mengalami kekurangan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Public Health England (PHE) dalam satu panduan terbaharu menasihatkan supaya petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memakai apron plastik yang nipis ketika merawat pesakit sekiranya tidak mempunyai PPE.

Ini berlawanan dengan panduan PHE sebelum ini bahawa gaun pembedahan kalis air yang mampu menghalang penyebaran titisan koronavirus wajib dipakai oleh petugas kesihatan ketika menjalankan prosedur yang berisiko tinggi.

Susulan pengumuman pada Jumaat itu, ramai yang bimbang jumlah doktor dan jururawat yang dijangkiti COVID-19 akan semakin meningkat.

Setakat Jumaat, kerajaan UK merekodkan seramai 27 petugas NHS meninggal dunia akibat pandemik ini, namun akhbar The Guardian melaporkan jumlah yang lebih tinggi, iaitu 56 kematian secara keseluruhan.

Kerajaan UK mengesahkan sebanyak 1 bilion barangan PPE dijangka dihantar ke seluruh negara pada hujung minggu ini.

Panduan terbaharu PHE itu menyenaraikan beberapa pilihan yang boleh dilakukan oleh petugas barisan hadapan sekiranya mereka tidak mempunyai gaun hospital.

Antara nasihat berkenaan termasuk meminjam gaun dari hospital lain, memakai ‘coveralls’ yang menutup seluruh badan, serta memakai apron plastik sebagai alternatif.

Setakat Jumaat, UK merekodkan 5,599 kes baharu yang menjadikan jumlah kumulatif adalah 108,692 serta 14,576 kematian akibat COVID-19.