COVID-19: Kematian lepasi 700,000, kes positif cecah 19.4 juta

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan berlaku pertambahan lebih 200,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

ANGKA jangkitan COVID-19 di seluruh dunia setakat Ahad meningkat kepada 19,481,330 berbanding 19,266,406 kes pada hari sebelumnya.

Data terbaharu Johns Hopkins University itu sekali gus menunjukkan berlaku pertambahan lebih 200,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Angka kematian berkaitan COVID-19 pula mencecah 723,599 kes, dengan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini, iaitu 162,244 kes.

Bagi kes jangkitan COVID-19, AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 4,986,345 kes positif.

Ini masing-masing diikuti oleh Brazil (2,962,442 kes positif) dan India (2,088,611).

Rusia dan Afrika Selatan melepasi angka jangkitan setengah juta dengan masing-masing mencatatkan 880,563 kes dan 553,188 kes.

Tujuh negara lagi – Mexico, Peru, Chile, Iran, Columbia, United Kingdom dan Sepanyol masing-masing melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

Sementara lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 iaitu Arab Saudi, Pakistan, Itali, Bangladesh, Turki, Perancis, Jerman serta Argentina.