Covid-19: Kes baharu melonjak tinggi, 62 kes hari ini

SEBANYAK 62 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), merekodkan 9,459 kes positif keseluruhan jangkitan wabak itu dalam negara, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, 56 kes adalah kes tempatan, manakala baki enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau berkata, 56 kes kes penularan di dalam negara membabitkan 30 warga Malaysia dan 26 bukan warganegara.

“Sebahagian besar membabitkan Kluster Benteng di Sabah dengan 50 kes. Satu lagi kluster baharu di Kedah, iaitu Kluster Sungai.

“Enam kes import yang dilaporkan (hari ini) dari Turki (2 kes di Kuala Lumpur), Bangladesh (1 kes di Kuala Lumpur, 1 kes di Selangor), Indonesia (1 kes di Kuala Lumpur); dan Mesir (1 kes di Selangor),” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Perincian bagi kes penularan tempatan adalah seperti berikut:

1) Sabah (51 kes):

• 50 kes daripada Kluster Benteng LD.

• Satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu.

2) Kedah (empat kes):

• Dua kes daripada Kluster Sungai.

• Satu kes saringan Kluster Telaga

• Satu kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar.

3) Pulau Pinang (satu kes):

• Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9,397.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 207 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Katanya, ada enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat sembilan kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,124 kes.

“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 128 kes, 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19