COVID-19: Kes kematian seluruh dunia melepasi angka 200,000

Seorang orang awam membantah langkah penutupan perniagaan bagi mengekang penularan COVID-19 di hadapan White House, di Washington, AS, 25 April, 2020. REUTERS

ANGKA kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat pada Sabtu, melepas angka 200,000.

Dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan hampir 7,000 kematian menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 202,000.

Menurut statistik Johns Hopkins University, sebanyak empat  negara mempunyai kes maut melebihi 20,000.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara  mempunyai angka korban tertinggi dan satu-satunya negara yang melebihi 50,000 kematian.

Angka kematian di negara Uncle Sam itu kini 53,000, diikuti Itali dengan jumlah kumulatif melebihi 26,000 kematian.

Sepanyol pula menjadi negara ketiga paling teruk dengan hampir 23,000 kematian.

Dalam pada itu, Perancis merekodkan 22,000 kematian, manakala United Kingdom telah melepasi 20,000 kematian.