Covid-19: Kes meningkat kerana kluster kenduri dan perhimpunan di gereja [METROTV]

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, perhimpunan besar-besaran sememangnya memberi impak mendadak dalam peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Menurutnya, hasil siasatan terhadap beberapa kes dan kluster Covid-19, KKM ingin memaklumkan mengenai dua kluster yang didapati berkait rapat dengan perhimpunan itu.

“Pertama, persidangan keagamaan di gereja selama tiga hari yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Setakat ini, seramai 83 orang disahkan positif Covid-19 daripada kluster ini membabitkan dua kematian (kes ke-358 dan kes ke-2471), lima kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), 50 kes sedang dirawat di hospital, 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin dan satu kes discaj telah pulih sepenuhnya.

“Kedua, majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor di mana merupakan satu kluster jangkitan Covid-19 yang kemudiannya membentuk jangkitan sehingga generasi ke-5. Sehingga 6 April, 88 kes telah disahkan positif Covid-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat ICU.

“Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini. Kedua-dua kluster ini membabitkan jangkitan Covid-19 sehingga generasi ke-5,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac adalah bertepatan bagi memutuskan rangkaian penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Walau bagaimanapun setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam memastikan usaha mengekang Covid-19 ini berjaya.

“Masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19. Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang terbabit, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19