COVID-19: Kes positif 21.3 juta, kematian cecah 768,000

Terdapat pertambahan 291,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia menjadikan kes kumulatif global kini mencecah 21.3 juta. -Gambar fail

TERDAPAT pertambahan 291,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia menjadikan kes kumulatif global kini mencecah 21.3 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 5.3 juta kes positif dikesan di negara itu secara keseluruhan.

Ini diikuti Brazil dengan 3.2 juta kes dan India 2.5 juta kes positif.

Rusia dan Afrika Selatan pula mencatat 915,808 dan 583,653 kes.

Tujuh negara iaitu Peru, Mexico, Colombia, Chile, Sepanyol, Iran dan United Kingdom pula melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

Di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia terus mencatatkan peningkatan ketara, dengan jumlah kes masing-masing 157,918 dan 137,468 kes positif keseluruhan.

Sementara itu, jumlah kematian pula mencatat pertambahan 6,769 kes menjadikan jumlah keseluruhan 768,043 kes.

AS mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 169,336 kes diikuti Brazil dengan 106,523 kes dan Mexico dengan 55,908 kes.