COVID-19: Kes positif cecah 2.54 juta di seluruh dunia

Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia mencecah 2.54 juta setakat awal pagi Rabu. -Johns Hopkins University

JUMLAH kes positif COVID-19 di seluruh dunia mencecah 2.54 juta setakat awal pagi Rabu.

Data Johns Hopkins University menunjukkan pertambahan lebih 80,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam.

Sepanyol kini menyertai Amerika Syarikat (AS) untuk berada dalam kelompok negara mempunyai kes positif COVID-19 melepasi angka 200,000.

AS kekal menjadi negara paling teruk terjejas dengan mencatatkan lebih 814,000 kes iaitu pertambahan lebih 36,000 kes baharu.

Sepanyol pula negara kedua paling teruk dengan mempunyai jumlah jangkitan sebanyak 204,000 kes dengan peningkatan melebihi 4,000 kes baharu.

Sementara itu, Itali dan Perancis pula kini masing-masing mencatatkan 183,000 kes dan 156,000 kes secara keseluruhan.

Manakala Jerman dan United Kingdom menjadi dua negara yang mencatatkan angka positif melebihi 100,000 apabila masing-masing mempunyai 148,000 dan 130,000 kes baharu.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi  678,000 di seluruh dunia.