COVID-19: Kes positif cecah hampir 2.8 juta seluruh dunia

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 890,000 kes positif COVID-19. – Gambar hiasan

KES positif COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri angka 2.8 juta orang setakat awal pagi ini.

Data Johns Hopkins University menunjukkan pertambahan hampir 100,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam dengan tujuh negara kini mempunyai angka positif melebihi 100,000.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 890,000 kes.

Sepanyol telah mengatasi Itali apabila mencatatkan pertambahan kes-kes positif apabila merekodkan 219,000 kes, manakala Itali hampir 193,000 kes.

Jerman dan United Kingdom turut mencatatkan angka positif melebihi 100,000 dengan masing-masing 154,000 dan 144,000 kes baharu.

Dalam pada itu, Turki hari ini melepasi angka 100,000 kes baharu dengan keseluruhan 104,000 kes selepas pertambahan lebih 3,000 kes positif.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 781,000 di seluruh dunia.