COVID-19: Kes positif cecah hampir 2.9 juta seluruh dunia

Seorang petugas perubatan bersedia untuk mengambil sampel dari seorang individu di lokasi ujian COVID-19 yang diadakan secara pandu lalu di Seattle, AS, 25 April, 2020. (Foto AP)

KES positif COVID-19 di seluruh dunia kini menghampiri angka 2.9 juta orang setakat awal pagi ini.

Data Johns Hopkins University menunjukkan pertambahan lebih 95,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam dengan tujuh negara kini mempunyai angka kes positif melebihi 100,000.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dan kumulatif kes positif kini menghampiri sejuta orang.

Sepanyol telah mengatasi Itali apabila mencatatkan pertambahan kes positif yang kini berjumlah 223,000, manakala Itali hampir 195,000 kes.

Perancis negara keempat tertinggi dengan hampir 160,000 kes positif, manakala Jerman dan United Kingdom turut mencatatkan angka positif melebihi 100,000, masing-masing pada 156,000 dan 149,000 kes baharu.

Dalam pada itu, bilangan kes positif di Turki terus mencatatkan peningkatan dan kini berada dalam kelompok negara dengan 100,000 kes, dengan kumulatif 107,000 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 813,000 di seluruh dunia.