COVID-19: Kes positif global 21.7 juta, kematian lebih 776,000

AS terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 170,000 kes. – Gambar fail REUTERS

SEBANYAK lebih 200,000 kes baharu positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia.

Ini menjadikan kes kumulatif global kini mencecah 21,761,813.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 5.42 juta kes jangkitan.

Ini diikuti Brazil dengan 3.34 juta kes manakala India 2.64 juta kes .

Jangkitan COVID-19 di Rusia pula menghampiri angka sejuta, sementara Afrika Selatan, Peru dan Mexico melepasi angka setengah juta.

Colombia, Chile, Iran, Sepanyol dan United Kingdom mencatat kes melepasi angka 300,000

Lapan lagi negara merekodkan kes positif melebihi angka 200,000 termasuk Arab Saudi, Argentina, Pakistan, Bangladesh, Perancis, Itali, Turki dan Jerman.

Dalam pada itu, negara yang melepasi 100,000 kes adalah Iraq, Filipina, Indonesia, Kanada, Qatar, Kazakstan, Ecuador dan Bolivia.

Lain-lain negara setakat ini masih merekodkan angka di bawah 100,000 kes.

Pada masa sama, statistik Johns Hopkins University mendedahkan, angka kematian global meningkat lebih 4,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini melepasi 776,000 kes.

AS terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 170,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan 107,000 kes korban dan Mexico dengan 56,000 kematian. India dan United Kingdom masing-masing merekodkan 50,000 kes dan 46,000 korban COVID-19.

Sementara itu, Itali dan Perancis pula masing-masing merekodkan lebih 35,000 dan 30,000 kes.

Dua negara terakhir yang melepasi angka kematian 20,000 adalah Sepanyol dengan 28,000 dan Peru dengan 26,000 kes.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.