COVID-19: Kes positif, kematian di Itali mula reda

Anggota polis berkawal di Dataran St Peter yang kosong, di Vatican, Itali, 10 April, 2020. (Foto AP)

SELEPAS beberapa minggu kes positif dan kematian akibat COVID-19 memuncak di itali, ia kini mula menunjukkan trend penurunan.

Menurut Presiden Itali, Sergio Mattarella, sehingga Sabtu, Itali menyaksikan penurunan jumlah orang yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus itu.

Katanya, ia satu perkembangan baik selepas negara itu terpaksa bergelut dalam usaha membendung penularan jangkitan itu sehingga menjadi hampir tidak terkawal.

Beliau menyifatkan penurunan kes positif jangkitan itu adalah hasil perintah berkurung yang dikuatkuasakan.

Justeru, belau menasihatkan rakyatnya untuk terus melakukan penjarakan sosial bagi menghentikan rantaian jangkitan COVID-19.

BACA: COVID-19: Robot bantu tugas jururawat di Itali

BACA: COVID-19: Suasana di Itali lengang

Sementara itu, Ketua Perlindungan Awam Itali, Angelo Borrelli mengesahkan 619 orang lagi telah meninggal akibat koronavirus pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan melepasi angka 19,000 orang.

Manakala, jumlah kes positif pula, kini mencecah 152,271 mangsa.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengumumkan perintah berkurung dilanjutkan sehingga 3 Mei, memandangkan negara masih berjuang melawan penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan tersebut mengumumkan perintah lockdown berkuat kuasa sehingga 13 April.