COVID-19: Kes positif kini cecah 3.32 juta di seluruh dunia

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh di seluruh dunia kini mencapai 1.04 juta. (Foto AP/Fail)

BILANGAN kes positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan jumlah kumulatif melepasi 3.32 juta orang, iaitu pertambahan 60,000 kes.

Data Johns Hopkins University menunjukkan, lapan negara merekodkan jangkitan COVID-19 melebihi 100 ribu kes.

Amerika Syarikat (AS) merupakan satu-satunya negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 1 juta dengan keseluruhan 1.09 juta kes.

Sepanyol dan Itali masing-masing melepasi angka 200 ribu kes jangkitan dengan keseluruhan 213 dan 207 ribu kes.

Sementara itu, United Kingdom dan Perancis menjadi negara keempat dan kelima mempunyai kes jangkitan, iaitu antara tertinggi dengan 178 dan 167 ribu kes.

Dalam pada itu, Jerman dan Turki pula masing-masing merekodkan kes positif sebanyak 163 dan 122 ribu kes.

Rusia menjadi negara terakhir dengan angka jangkitan melepasi 100 ribu di mana secara keseluruhannya terdapat 114 ribu kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh di seluruh dunia kini mencapai 1.04 juta.

Wabak itu kini menular di 187 buah negara.