COVID-19: Kes positif kini hampir 3.6 juta di seluruh dunia

AS satu-satunya negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 1 juta dengan jumlah kumulatif kes positif 1.19 juta. – Gambar fail

KES positif COVID-19 seluruh dunia terus meningkat dengan jumlah kumulatif kini menghampiri 3.6 juta orang, pertambahan lebih 80,000 kes.

Data Johns Hopkins University menunjukkan, sembilan negara kini mempunyai kes jangkitan melebihi 100,000 kes.

Amerika Syarikat (AS) satu-satunya negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 1 juta dengan jumlah kumulatif kes positif 1.19 juta.

Sepanyol dan Itali masing-masing melepasi angka 200,000 kes jangkitan dengan kumulatif kes masing-masing 218,000 dan 213,000 kes.

Sementara United Kingdom dan Perancis menjadi negara keempat dan kelima mempunyai kes jangkitan antara tertinggi dengan 196,000 dan 169,000 kes.

Dalam pada itu, Jerman mencatatkan negara keenam tertinggi merekodkan kes positif dengan 166,000.

Rusia kini negara ketujuh tertinggi mengatasi Turki selepas merekodkan peningkatan mendadak dengan 155,000 kes.

Manakala, Turki dan Brazil pula masing-masing merekodkan kes positif 129,000 dan 110,000 kes.