COVID-19: Kes positif seluruh dunia hampir cecah 2.4 juta

Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi negara yang paling teruk terjejas dengan lebih 755 ribu kes positif. – Gambar Astro AWANi

JUMLAH angka jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini hampir mencecah 2.4 juta selepas pertambahan lebih 80,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Menurut data Johns Hopkins University, setakat ini, enam negara telah merekodkan lebih 100,000 kes positif COVID-19.

Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi negara yang paling teruk terjejas dengan lebih
755,000 kes positif.

Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan 196,000 dan 178,000 kes secara keseluruhan.

Sementara itu, kes positif di Perancis telah melepasi 154,000, manakala Jerman, keseluruhannya 145,000 kes.

United Kingdom, negara yang mencapai angka 100,000 pada Jumaat, kini mempunyai pertambahan kes baharu sebanyak hampir 6,000, dengan keseluruhannya 121,000 kes.

COVID-19 kini telah menular di 185 buah negara.

Bagaimanapun, jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh, setakat ini, melepasi 611,000.