COVID-19: Kes positif seluruh dunia melepasi paras 2 juta

Pertambahan lebih 90,000 kes positif baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2.04 juta orang. – REUTERS/Fail

JUMLAH kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi paras dua juta kes setakat pagi Khamis waktu Malaysia.

Menurut data Johns Hopkins University, pertambahan lebih 90,000 kes positif baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2.04 juta orang.

Lima negara mencatat kes positif melebihi angka 100,000 dengan United Kingdom bakal menjadi negara keenam dalam tempoh beberapa jam lagi.

Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi negara paling teruk terjejas akibat pandemik itu apabila merekodkan lebih 630,000 kes positif COVID-19.

Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan 177,000 dan 165,000 kes secara keseluruhan.

Sementara itu, Jerman mengatasi Itali  untuk berada di kedudukan empat terbanyak dengan 133,000 kes, manakala perancis 131,000 kes.

United Kingdom kini di ambang angka 100,000 kes selepas mencatat 5,000 kes baharu lagi pada Rabu.