Covid-19: Kes pulih melebihi dua kali ganda jangkitan baru, tiada kematian [METROTV]

TIADA kes kematian berkaitan virus Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.

Bilangan kes pulih Covid-19 melebihi hampir dua kali ganda kes jangkitan baru apabila sebanyak 74 kes pulih dan dibenarkan keluar wad berbanding 39 kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj adalah sebanyak 4,776 kes atau 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat 39 kes baru dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 6,467 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,584 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, daripada 39 kes baru yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 38 kes, yang mana sebanyak lapan kes dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini, seramai 19 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 107 kes berikutan hari ini tiada kematian dilaporkan,” katanya.

DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19