Covid-19: Kes pulih melebihi jangkitan baharu

KES Covid-19 di negara ini terus mencatat perkembangan positif apabila jumlah pesakit yang pulih daripada wabak berkenaan, hari ini melebihi rekod jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 168 kes dilaporkan bebas daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan individu yang pulih daripada wabak terbabit sehingga kini ialah 2,276 orang atau 47.3 peratus.

Secara perbandingan, katanya, sebanyak 134 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 4,817 orang.

“Ini bermakna, bilangan kes yang dibenarkan keluar wad hari ini juga melebihi laporan kes baharu dan jumlah kes aktif masih dirawat adalah 2,464 kes.

“Sehingga kini, seramai 66 kes positif Covid-19 sedang ditempatkan di unit rawatan api (ICU), dan 36 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19, sekali gus jumlah keseluruhan angka korban adalah sebanyak 77 orang atau 1.6 peratus.

Memperincikan status terkini Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, satu kes kematian ke-77 (kes ke-2,797) ialah lelaki warganegara Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau berkata, kes ini adalah kontak rapat kepada kes indeks (iaitu kes ke-703)

Katanya, beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi, hari ini.

“Kementerian mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19